
SHAH ALAM – Sebanyak 20,000 naskhah Al-Quran terjemahan Bahasa Mandarin akan dicetak pada tahun depan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata, naskhah Al-Quran itu diterbitkan oleh Yayasan Restu dengan kerjasama Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) sebagai langkah meneruskan dakwah melalui seni mushaf.
“Perjanjian persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Yayasan Restu dan Macma. Kedua-dua pihak akan berkongsi kemahiran bagi menerbitkan Al-Quran dengan terjemahan Bahasa Mandarin ini.
“Yayasan Restu menyasarkan untuk menerbitkan 100,000 lagi Al-Quran ini dalam usaha melahirkan terjemahan yang terbaik dan bersesuaian dengan kehendak syarak,” katanya pada majlis menandatangani MoU itu di sini hari ini.
Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa pula berkata, projek tersebut melibatkan kos sebanyak RM1 juta kerana ia meliputi kos kajian, penyelidikan dan penerbitan kerana ia menggunakan teknik tulisan tangan.
Menurut beliau, aspek penyelidikan mengambil masa kira-kira enam bulan manakala proses penerbitan pula memakan masa selama setahun.
Lebih menarik, katanya, Al-Quran terjemahan Bahasa Mandarin itu menggunakan seni tampak halus Cina dalam reka grafik Al-Quran berkenaan.
Beliau turut bercadang mengeluarkan Al-Quran versi ‘soft copy’ dan digital.
0 komentar:
Posting Komentar