Rabu, 01 Januari 2014

Presiden Dan Timb Presiden MCA Gaduh ‘KOW KOW’ Sesama Sendiri!


Hubungan antara orang nombor satu dan dua MCA sudah macam peribahasa ‘berpatah arang, berkerat rotan’.

Tidak nampak ada penyelesaian yang baik menjelang mesyuarat agung luar biasa (EGM) 20 Oktober ini.

Petang Jumaat di Ibu Pejabat MCA Jalan Ampang orang nombor satu parti itu Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sudah keluar ‘ultimatum’ hanya akan letak jawatan jika timbalannya Datuk Seri Liow Tiong Lai turut melakukan hal yang sama.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menyerahkan parti itu kepada seorang yang bercita-cita tinggi, dedikasi dan berkebolehan tapi bukan kepada dia (Tiong Lai), yang lemah dan tidak dapat membuat keputusan,” kata Chua.

Perang Chua dan Tiong Lai mula membara sejak lepas PRU13 setelah MCA jelas ditolak masyarakat Cina di negara ini.

Menurut presiden MCA itu lagi, cadangannya agar mereka bersama-sama melepaskan jawatan dalam parti kepada generasi baru bukanlah suatu keputusan yang dibincang bersama Tiong Lai.

“Ini bukanlah satu tindakan untuk membalas dendam terhadap beliau atau mahu meletakkan segala kesalahan ke atas bahunya kerana saya sendiri telah membuat pengakuan bahawa saya selaku presiden adalah bertanggungjawab ke atas parti dan juga saya telah menyatakan yang saya tidak akan mempertahankan jawatan presiden,” kata Chua.

Dakwa Dr Chua, Tiong Lai hanya melawat tidak sampai 10 daripada 127 kawasan pilihan raya yang ditandingi oleh calon-calon MCA.

“Apa yang kami hendak tunjukkan kepada para pemimpin kanan parti, seandainya mereka diberikan amanah dan tanggungjawab tertentu untuk dilaksanakan, kami menjangkakan yang mereka akan melaksanakan tanggungjawab itu sepenuhnya,” tegasnya.

Sehubungan dengan itu, Dr Chua menggesa semua perwakilan agar hadir pada EGM akan datang untuk menentukan apa yang perlu untuk masa depan parti.

Ini termasuklah resolusi untuk membatalkan keputusan parti itu untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan sebagaimana yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung yang lalu.

Tanpa resolusi ini diluluskan, MCA tidak dapat menamakan wakil mereka di dalam pentadbiran kerajaan di semua peringkat.

DALAM pada itu, Tiong Lai menafikan dakwaan bahawa beliau gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai pengerusi Jawatankuasa PRU13 sehingga menyebabkan kekalahan teruk parti.

Kekalahan parti pada PRU13, katanya, berpunca daripada penolakan rakyat terutamanya masyarakat Cina terhadap personaliti Dr Chua.

“Sebab kekalahan besar kami adalah kerana kami mempunyai seorang presiden dengan moral tercemar,”ujarnya.

Dr Chua pada 2008, dikaitkan dengan satu skandal seks, beliau mengakuinya, meletak jawatan sebelum kembali aktif selepas PRU12.

Turut hadir dalam sidang akhbar Tiong Lai adalah bekas ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun, Ketua Wanita Datuk Yu Chok Tow dan anggota jawatankuasa MCA Datuk Dr Hou Kok Chung, Lee Wei Kiat dan Datuk Hoh Khai Mun.

Tiong Lai juga mendakwa Dr Chua membuat segala keputusan parti secara sendiri tanpa merujuk ataupun berbincang dengannya ataupun dengan anggota-anggota jawatankuasa pusat yang lain.

“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Parti sebelum ini telah turun padang bersama-sama dengan anggota jawatankuasa saya bagi mendengar pandangan rakyat serta berbincang dengan pelbagai NGO melalui dialog di seluruh negara.

“Mereka merasakan perlunya ada wakil kaum Cina dalam Kabinet ataupun kerajaan bagi membantu menyuarakan serta menyelesaikan masalah mereka,” katanya. – Agendadaily.com

0 komentar:

Posting Komentar