
KEMAMAN – Terengganu kembali muncul sebagai negeri terbaik dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini buat kali ke 12 apabila secara purata memperoleh 14 peratus daripada keseluruhan calon yang berjaya mendapat 5A.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata pencapaian itu sangat membanggakan kerana Terengganu mampu mengulangi kejayaan itu selepas Kelantan menjadi negeri terbaik keputusan peperiksaan itu tahun lepas dengan jurang perbezaan tipis iaitu hanya 0.01 peratus.
“Saya bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada semua murid yang berjaya serta seluruh warga pendidik di negeri yang telah bekerja keras untuk memastikan Terengganu terus cemerlang dalam bidang pendidikan.
“Bagaimanapun saya belum berpuas hati dengan pencapaian itu kerana sasaran untuk melihat Terengganu mencapai 20 peratus murid memperoleh semua A dalam UPSR belum tercapai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Mesra Menteri Besar Bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail sempena pengumuman keputusan UPSR 2013 di dewan sekolah itu di sini hari ini.
Seramai 57 daripada 190 murid sekolah berkenaan mendapat 5A. – BERNAMA
0 komentar:
Posting Komentar